UCAPAN DR BIBI JAN MD AYYUB, PRESIDEN KESATUAN GURU-GURU MELAYU SINGAPURA DI PERKHEMAHAN PANTUN 2009 PADA SABTU 21 FEB 2009, JAM 9.00 PAGI DI DEWAN KULIAH 1, MAKTAB RENDAH TAMPINES

Yang berbahagia,
Saudari Nur Hidayah
Pengerusi perkhemahan pantun 2009.

Yang dimuliakan,
Ibu bapa dan guru-guru

Yang dikasihi,
Para pelajar
Dan para hadirin yang saya hormati.

Assalamualaikum wrb, wbkt


Daun layu di tengah gurun,

Nampak jalur pohon cemara;
Tradisi Melayu turun temurun,
Pantun ditutur pembuka bicara.

1 Saya berasa amat gembira sekali dapat bersama-sama anda dalam majlis ilmu pada pagi ini. Suasana yang ghairah dan menyeronokkan dapat dirasai dalam dewan ini.


2 Sejak ditubuhkan pada 1947, KGMS mempunyai dua fungsi utama. Yang pertama sebagai sebuah kesatuan sekerja dan yang kedua sebagai badan Melayu/Islam.


3 Sebagai sebuah kesatuan sekerja, tugas utama kami ialah menjaga kebajikan ahli kesatuan dan meningkatkan dan mengembangkan kerjaya perguruan secara profesional.


4 Sebagai sebuah badan Melayu/Islam, KGMS terlibat dalam pelbagai aktiviti kebahasaan, kesusasteraan, kebudayaan dan kemasyarakatan. Antara kegiatan yang kami anjurkan termasuklah seminar, ceramah, kursus, bengkel dan sesi perkongsian profesional.


5 Kita bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk NTUC, Mendaki, Jamiyah, Masjid Kampung Siglap, Kementerian Pendidikan, Kementerian Pembangunan Masyarakat, Belia dan Sukan, Kementerian Ehwal Dalam Negeri dan Keduataan Amerika Syarikat.


6 Kegiatan pada hari ini, perkhemahan pantun 2009 merupakan satu lagi usaha sama antara KGMS dan Maktab Rendah Tampines (TPJC). KGMS mempunyai hubungan yang erat bersama TPJC dan kami telah menjalankan pelbagai aktiviti bersama seperti Ceramah Arif Budiman dan Pertandingan Blogging. Semoga usahasama ini akan berterusan pada masa hadapan, insya-Allah.


7 Saya dimaklumkan bahawa jawatankuasa perkhemahan pantun 2009 dianggotai oleh pelajar-pelajar maktab Rendah Tampines, baik yang masih menuntut di sini mahupun yang sudah melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi. Mereka juga merupakan pelajar-pelajar yang mengikuti program bahasa pilihan melayu atau MLEP dari kohort 2001 hingga 2009.


8 Perkhemahan Pantun 2009 merupakan satu usaha yang baik untuk memupuk minat tentang satu aspek kesusasteraan Melayu dan pada masa yang sama mempertingkatkan dan memperluaskan penggunaan bahasa Melayu di kalangan pelajar di Singapura. Kegiatan sebegini harus diperbanyakkan bagi menyemarakkan lagi suasana kebahasaan di sekolah-sekolah secara khusus dan di kalangan masyarakat secara umum.


9 KGMS dengan sokongan Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC) akan sentiasa menyokong mana-mana pihak termasuk sekolah-sekolah yang berminat untuk menganjurkan kegiatan-kegiatan kebahasaan, seperti yang diadakan pada pagi ini. Segala kerjasama dan usaha sama amat dialu-alukan dan kami amat bersedia untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran untuk menganjurkan kegiatan-kegiatan tersebut.


10 Syabas saya ucapkan kepada para pelajar TPJC yang telah berjaya menganjurkan majlis pada hari ini dengan kerjasama pihak KGMS dan sokongan MLLPC. Selamat maju jaya kepada para pelajar sekalian dan kepada semua peserta pada hari ini, Selamat mengikuti perkhemahan pantun.

Serangkap pantun penutup bicara.


Anak rusa turun berlima,

Sibuk bermain di batas peria;
Hajat hati terus bersama,
Meraikan majlis penuh ceria.

Sekian, terima kasih.

Assalamualaikum Wr Wb